SYARIAH
Makna dan Dasarnya
Makna dan Dasarnya
بسم الله
الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله ومن ولاه
Di dalam
melaksanakan syariah Islam di dalam negara, terdapat aulawiyat yang perlu
dipatuhi oleh mereka yang diizinkan Allah memegang tampuk kekuasaan.Berikut
adalah sedikit perkongsian yang diolah kembali daripada rakaman temuramah
bersama Dr Yusof al-Qardhawi di bawah tajuk “Syariah : Makna dan Dasarnya,”menerusi rancangan Syariah Dan Kehidupan, saluran al-Jazeera.
Muqaddimah
Terlebih dahulu beliau
mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara kita di Mesir yang telah berjaya
menjalani pilihanraya dengan ketiga-tiga peringkat dan memilih calon-calon yang
disokong oleh sebahagian besar rakyat.Tidak mungkin seluruh semuanya manusia bolehbersepakat
di atas suatu perkara, ini sememangnya tabiat manusia.Maka, jika sebahagian
besar manusia menyokong, sudah menandakan satu kebaikan, Insya Allah.Beliau mengucapkan
tahniah dan mendoakan mereka mendapat petunjuk dalam melalui peringkat yang
seterusnya.
1) Takrif syariah:
ما شرعه الله لعباده من الأحكام
“Segala perkara yang Allah
syariatkan kepada hambaNya, daripada hukum hakam.”
Ada di antaranya suruhan dan ada
pula larangan. Ada di antaranya yang berkaitan dengan ( كيفية
العمل ) ‘cara beramal’ dan
dinamakan sebagai ( فرعية وعملية )
‘cabang dan amalan.’ Ilmu yang berkaitan dengannya dinamakan sebagai ilmu fiqh,
syariah dan hukum. Dan ada pula yang berkaitan dengan ( أصل
العمل ) ‘dasar amalan’ dan
dinamakan sebagai ( أصلية واعتقادية )
‘usul dan pegangan.’ Ilmu yang berkiatan dengannya dinamakan sebagai ilmu
kalam, tauhid atau aqidah
2) Syariah dan agama:
Jika berdasarkan takrif di atas,
syariah itu sendiri adalah agama.
Namun sebahagian ulama membezakan
antara penggunaan kalimah syariah kepada maksud yang lebih khusus, iaitulah
hukum hakam fiqh.Sebagaimana di al-Azhar dinamakan kuliah yang menumpukan
pengajian fiqh sebagai kuliah syariah, dan kuliah yang mengaji akidah dinamakan
kuliah usuluddin. Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikuhul Azhar pernah mengarang
sebuah kitab bertajuk “Islam itu Aqidah dan Syariah.”
3) Kenapa Allah turunkan Syariah?
Firman Allah taala:
لقد أنزلنا رسلنا بالبينات وأنزلنا معهم الكتاب والميزان ليقوم الناس
بالقسط
كتاب أنزلناه إليك لتخرج الناس من الظلمات إلى النور
Allah taala maha kaya daripada
hambaNya, Dia tidak berhajat kepada sesuatu daripada hambaNya. Di dalam ayat
pertama disebut: “Agar manusia menegakkan keadilan,” ayat kedua “Mengeluarkan manusia dari kegelapan
kepada cahaya.”
Secara ringkasnya, syariah adalah:
كل ما يهدى الناس في الحياة إلى الطريق القويم والتوازن
Setiap perkara yang menyusun
kehidupan dan memandu kepada jalan yang lurus dan sistematik, itulah tugasan
syariah, agar mereka mendapat kebaikan di dunia, dan di akhirat.
4) Sumber-sumber syariah:
Syariah diambil
daripada dalil-dali syarak. Terdapat dua jenis dalil: pertama dalil yang
disepakati. Iaitulah al-Quran yang merupakan sumber yang paling utama, kemudian
sunnah, ijmak dan qias. Jenis yang kedua pula dalil yang terdapat perselisihan
antara ulama seperti amalan umat terdahulu, masaleh mursalah, istihsan, uruf,
istishab dan sebagainya (rujuk kitab-kitab usul fiqh) Semua sumber-sumber ini
sudah memadai bagi menyelesaikan setiap permasalahan manusia.
5) Apakah perkara yang ( الثابت ) ‘tetap.”?
Perkara yang ( الثابت ) ‘tetap’
dan tidak akan berubah adalah yang berkaitan dengan akidah, ibadah yang asas,
akhlak-akhlak yang utama, nilai murni dan perkara (الرذائل ) ‘yang dipandang keji’, halal dan haram,
perkara-perkara yang dasar yang berkaitan dengan individu, mencari pekerjaan
halal, berpakaian menutup aurat, makanan halal, hubungan antara suami isteri,
kaum kerabat, hak-hak asas masyarakat, pemerintah, rakyat dan sebagainya.
(Yakni perkara yang sudah diijmak dan bukan tempat ijtihad)
6) Apakah perkara ( المتغير ) ‘boleh
berubah’ dan syarat-syaratnya?
Perkara yang
‘boleh berubah’ adalah selaindaripada perkara sabit.Iaitulah yang
bukannya dari masalah akidah, ibadah, akhlak-akhlak utama, bukan juga dari
hukum qatie yang tidak menerima sebarang perubahan, seperti masalah pewarisan
harta yang sudah disebutkan secara jelas di dalam al-Quran dan hadis, kerana
sudah disepakati oleh seluruh umat.Perkara sabitini tidak menerima perubahan
atau ijtihad.
Perkara
mutaghayyir adalah cukup banyak iaitulah segala perkara yang boleh dimasuki
ijtihad.Ia dikaji di dalam ilmu fiqh dengan perbahasan yang cukup meluas.
Daripada sini timbulnya perubahan fatwa. Fatwa boleh berubah mengikut 4
perkara: masa, tempat, uruf (adat setempat) dan keadaan.
Jadi di sana
terdapat perkara yang boleh berubah, dan ada perkara yang tidak berubah,
Iaitulah perkara yang menjadi dasar dan asas agama.
7) Perlaksanaan Syariah
Sebahagian
manusia apabila mendengar kalimah undang-undang syariah terus rasa
takut.Seolah-olah syariah tidak mampu memberikan keadilan.Sebenarnya syariah
adalah amat bertepatan dengan nas dan akal manusia.Ia akan dilaksanakan
sebagaimana dilaksanakan undang-undang biasa. Bukan bermakna apabila kita mahu
melaksanakan syariah terus kita memotong tangan pencuri. Saya berpendapat
perkara ini tidak akan boleh terus dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun yang
terdekat. Kita sebenarnya amat berhajat untuk mendahulukan perlaksanaan dasar,
yang berkaitan dengan akidah, akhlak, ekonomi, ilmu tentang syariah.Terdapat
dua juta penduduk jalanan di Mesir sekarang, yang tidak mempunyai pendidikan.
Adakah apabila kita melaksanakan syariah kita terus akan memotong tangan
mereka? Terlebih dahulu kita perlu mengajar mereka, memberi pemahaman, memenuhi
keperluan terhadap perkerjaan, pengetahuan, dan keperluan asas.Semua ini perlu
dilaksanakan sebelum dilaksanakan hudud.Bukankah Nabi memulakan dakwahnya
dengan membetulkan akidah dan menanam pemahaman selama 10 tahun di
Mekah.Baginda terlebih dahulu menjelaskan halal dan haram, membersihkan jiwa
dan mempersiapkan manusia untuk melaksanakan syariah. Setiap pihak yang akan
memegang tampuk pemerintahan amat perlu memahami perkara ini terlebih dahulu.
8) Berperingkat di dalam
melaksanakan syariah
Hukum syariah
banyak memberikan contoh kepada tadarruj.Contohnya pengharaman arak.Arak
diharamkan menerusi beberapa peringkat di dalam beberapa ayat.Lihatlah
bagaimana Allah mencipta segala perkara secara berperingkat-peringkat?pohon
anak kecilIni adalah sunnah yang perlu diraikan. Bukan hudud sahaja syariah
Islam. Tetapi banyak lagi hukum hakam syariah yang lain.
9) Siapakah yang boleh melaksanakan syariah. Negara atau umat?
Sebahagian
perkara syariah boleh dilaksanakan tanpa memerlukan kuasa.Contohnya makan,
sembahyang, bekerja, semua perkara ini boleh dilaksanakan mengikut syariah tanpa
memerlukan kepada negara.Adakah saya perlu menunggu perintah makan, baru saya
makan?Tidak.Perkara berkaitan mencari rezeki yang halal mampu saya laksanakan
sendiri tanpa negara.Syariah adalah semua perkara yang berkaitan dengan
mukallaf, buat atau tinggalkan.Adapun perkara besar seperti hukuman hudud,
hanyalah boleh dilaksanakan oleh negara. Jadi, setiap orang melaksanakan apa
yang dituntut daripadanya. Tidak boleh seseorang melakukan perkara diluar
bidang kuasanya.Perintah untuk melaksanakan hudud dituju kepada seluruh
umat.Tetapi yang boleh melaksanakan hanyalah pemerintah. Jika pemerintah tidak
melaksanakan hudud, maka semua akan berdosa. Umat dituntut untuk memastikan
pemerintah melaksanakan hudud.
10) Bolehkan satu golongan melaksanakan hudud sendiri?
Tidak
boleh.Tidak boleh sekumpulan manusia melaksanakan hudud sendiri.Mestilah negara
yang melaksanakannya.
Firman Allah
taala:
يأيها الذين ءامنوا أطيعوا الله وأطيعوا الرسول وأولي الأمر منكم
Ulil Amri adalah
ulama dalam bidang kuasanya, dan pemerintah dalam bidang kuasanya.Pemerintah
perlu ditaati di dalam perkara yang Allah taala perintahkan kepadanya untuk
dilaksanakan.Merekalah yang bertanggungjawab dalam perkara tersebut.Umat pula
perlu membantu mereka. Jika kita menangkap pencuri, kita perlu mengajarkan dia
bahawa perkara ini salah, bagaimana cara mencari rezeki.Kita tidak boleh terus
memotong tangannya sebelum asas-asas ini bertapak kemas.
11) Khilaf antara mazhab
Kebanyakan hukum
syariah mempunyai khilaf.Hanya sedikit sahaja yang tiada khilaf. Sesiapa yang
mengkaji ilmu fiqh muqaran akan mendapati kebenaran kata-kata ini. Setengah
orang mengatakan kita perlu berpegang kepada zahir nas.Tidak.Syariah
mempunyai maqasid dan matlamatnya.Maqasid ini perlu diraikan.
Ibnu Taimiyah
melarang orang menegah tentera Tartar minum arak. Arak diharamkan kepada kita
kerana ia menyibukkan kita daripada mengingati Allah. Tetapi arak adalah lebih
baik buat mereka, kerana arak menyibukkan mereka daripada membunuh.Ini adalah
satu contoh pandangan terhadap maqasid. Seorang muslim perlu melihat dimanakah
tarjih. Banyak pendapat bukan bermakna kita perlu mengambil semua
pendapat.Tidak.Bahkan kita perlu meneliti yang manakah lebih rajih, dan
mempunyai maslahah yang paling besar untuk manusia.
Kisah Ibnu
Abbas, datang seorang bertanya kepadanya “Adakah pembunuh diterima taubatnya?”
Ibnu Abbas melihat wajah penanya dan berkata “Pembunuh tidak diterima
taubatnya.”Sahabat-sahabat beliau hairan dan bertanya kepadanya.Beliau menjawab
“Aku melihat mukanya dipenuhi perasaan marah, dan dia ingin membunuh seorang
mukmin.Maka aku ingin halang dia daripada membunuh.”Maka Ibnu Abbas telah
menutup jalan orang tersebut daripada membunuh.Sedangkan sebelum itu beliau
memberi fatwa bahawa taubat seorang pembunuh diterima Allah.
الفتوى قبل الابتلاء بالفعل غير الفتوى بعد الابتلاء بالفعل
“Fatwa sebelum
sesuatu perbuatan dilakukan, adalah berbeza dengan fatwa selepas sesuatu
perbuatan dilakukan.”
Lihat rakaman dalam : http://www.youtube.com/watch?v=5modTQ70vFg
Wallahua'lam..
Disediakan oleh :
Mohd Kamal bin Mansor
Felo MANHAL PMRAM
RSS Feed
Twitter

11:53 AM
Kenali MANHAL




0 comments:
Post a Comment